Motivasi Diri


Setelah lama meninggalkan dunia blog ini, terasa diri ini ingin berkongsi semula.

Dalam kehidupan kita ini, pastinya kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran & dugaan yang pastinya Allah sediakan untuk kita agar kita menjadi orang yang lebih bertaqwa di sisiNya.

Kerana apa???

Kerana syurga. Ya....syurga. Syurga adalah tempat yang bersih. Tempat yang suci. Maka tempat yang bersih & suci pastilah akan didiami oleh orang yang bersih & suci dari segala dosa & maksiat. Maka dek kerana itu, Allah sediakan neraka. tempat penyucian manusia dari segala dosa yang telah dikerjakan atas dunia ini.

Berbalik kepada cabaran & dugaan tadi, maka Allah sediakan cabaran & dugaan itu untuk memilih siapakah antara kita yang layak menerima syurga tanpa melalui neraka terlebih dahulu. Pastinya orang yang benar-benar tabah & sabar dalam semua ujian akan merasa nikmat syurga itu tanpa seksaan neraka.

Cabaran itu terdiri daripada pelbagai bentuk & keadaan. Godaan kita ini menguji kita sejauh mana kita dapat mendidik nafsu & menundukkannya agar kita dapat taat pada perintah Yang Maha Kuasa.

Persaingan juga merupakan satu cabaran. Dalam dunia hari ini, persaingan adalah intipati penting dalam membentuk suatu ketamadunan. Jika kita kalah dalam persaingan, maka kita akan menjadi satu bangsa yang mundur atau kebelakang.

Satu perkara yang nak saya kongsikan kali ini adalah 5 perkara yang perlu kita sedari sebelum kita melangkah dalam persaingan.

Dalam perutusan tahunan NC UTeM baru-baru ini, perkara tersebut telah di ucapkan



1. Kita sedar & kenal siapa diri kita
2. Kita kenal & sedar di mana kita berada sekarang
3. Kita tahu ke mana hendak kita tuju
4. Kita tahu & kenalpasti matlamat kita
5. Kita tahu bagaimana untuk mencapai matlamat tersebut.

Dengan 5 persoalan di atas, pastinya kita tahu apa yang perlu kita buat sebelum kit lakukan suatu tindakan.

Bagi saya, persoalan ini sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin mencapai suatu matlamat. Tidak kita matlamat di dunia mahupun di akhirat.

Kita boleh berhenti sejenak dan fikirkan sebelum kita bertindak untuk satu tindakan.

Tepuk dada,tanya iman

WaALlahualam

Jom!! Sertai perhimpunan Perdana Palestin

Gaza memerlukan sokongan kita. Gaza harap pada bantuan kita. Gaza masih dalam kesusahan.
Ayuh!!! kita sumbangkan tenaga dan harta kita untuk Gaza.

Bersama kami berhimpun beramai-ramai di Stadium Melawati. Sabtu, 8 Mei 2010

Tunjukkan sokongan anda dengan menghadiri perhimpunan ini.

Konvoi beramai-ramai tanda sokongan dari 3 arah iaitu dari arah Utara, Timur dan Selatan ke Stadium Melawati pada siang hari Sabtu, 8 Mei 2010. Mari sertai bersama.

Selatan
- 12.00 tghr: Berkumpul di Johor Bahru (akan ditentukan lokasi)

- 12.30 tghr: Konvoi bergerak melalui lebuhraya Plus ( Tol Skudai)

-1.00 tghr: Peserta konvoi dari Melaka berkumpul di Masjid Al-Alami, Ayer Keroh

-2.15 ptg: Selepas solat Zohor, taklimat konvoi dan bergerak ke Restoran Jejantas, Ayer Keroh

-2.40 ptg: Promosi Perhimpunan Perdana di Restoran Jejantas, Ayer Keroh

-3.00 ptg: Peserta konvoi Johor & Melaka bergabung dan bertolak ke Seremban

-3.15 ptg: Peserta konvoi dari Neregi Sembilan berkumpul di R&R Seremban

-3.40 ptg: Promosi Perhimpunan Perdana di R&R Seremban

-4.30 ptg: Solat Asar; Peserta konvoi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bergabung

-5.00 ptg: Peserta konvoi bertolak ke Stadium Melawati, Shah Alam

Jangan ketinggalan. Tiada yuran, tiada borang penyertaan. Ikut serta & ajak seramai mungkin ahli keluarga dan sahabat sertai konvoi ini.

Syarat-syarat:
Pakaian, bendera, & lambang hanya yang berkaitan isu Palestin.
Poster, banner boleh dibawa @ ditampal pada kenderaan, tetapi tidak melanggar peraturan jalan raya.
Digalakkan konvoi kereta, van & MPV sahaja.
Tidak boleh membuat kekacauan & gangguan lalulintas
Peserta yang membawa lambang selain lambang NGO & Palestin tidak dibenarkan ikut serta.







Perhimpunan Perdana PALESTIN

Lifeline 4 Gaza | Break The Siege


Lifeline 4 Gaza | Break The Siege

Lifeline 4 Gaza, atau Talian Hayat Untuk Gaza adalah satu usaha kerjasama di antara NGO-NGO di Malaysia untuk menyertai kempen antarabangsa bagi menembusi kepungan Israel terhadap Gaza. Lifeline 4 Gaza akan bergerak bersama Free Gaza Movement yang berpangkalan di Cyprus, IHH di Turki, MERC dan Kispa di Indonesia dan NGO-NGO lain dari USA, Greece, Perancis, Sweeden, Jerman, Itali, Venezuela dan lain-lain.

Konvoi tersebut dijangka akan berlepas dari Istanbul pada 15 Mei 2010, disertai 20 kapal dan bot kargo. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan tokoh-tokoh kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.


Kepungan


Rejim Zionis Israel telah membina Tembok Kematian di Gaza dan Tebing Barat, yang telah menjadikan Gaza sebagai penjara terbesar di dunia. Tembok yang setinggi 8-12 meter dan sepanjang 850 km itu menjadi senjata utama Rejim Zionis untuk "membunuh" penduduk Gaza serta mencengkam mereka secara perlahan-lahan. Tembok itu telah digunakan untuk menghalang kemasukan bahan-bahan keperluan asas kehidupan termasuk makanan, minyak, bahan perubatan dan lain-lain. Gaza tidak hanya menjadi penjara terbesar tetapi hak untuk hidup rakyat Gaza juga telah dinafikan. Zionis ganas ini telah menggunakan kekuatan lobi mereka untuk menyekat dan melaksanakan embargo ke atas Gaza dengan dokongan Amerika Syarikat, Britain dan kuasa-kuasa besar dunia.

Tidak cukup dengan embargo dan Tembok Kematian, pihak Zionis juga telah menyerang Gaza pada 27 Disember 2008 selama 23 hari. Serangan yang amat brutal itu telah menggunakan senjata-senjata terlarang seperti bom fosforus, peluru uranium dan lain-lain. Mereka telah menggugurkan lebih daripada 1.5 juta kilogram bom dari semua arah iaitu daratan, lautan dan udara.


Hampir keseluruhan infrastruktur utama bandar Gaza hancur. Banyak bangunan-bangunan penting seperti pusat pentadbiran kerajaan, hospital, universiti, masjid, gereja, sekolah, janakuasa elektrik, bekalan air bersih dan lain-lain telah hancur akibat serangan rejim Zionis tersebut yang jelas telah mensasarkan keperluan orang awam.


Misi


Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-4 iaitu Lifeline4Gaza selepas kejayaan misi ke-3 konvoi Viva Palestina. Ia merupakan satu usaha besar-besaran yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 20 buah kapal dan bot.


Kempen ini akan diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-2 lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.


Konvoi ini amat penting kerana sekiranya ia berjaya maka kapal-kapal tersebut akan digunakan untuk menghantar semua barangan keperluan Gaza dari semasa ke semasa. Ini bermakna sekatan embargo Israel ke atas Gaza akan terangkat walaupun Tembok Kematian Israel masih berdiri utuh.

Lifeline 4 Gaza mensasarkan untuk mengutip RM 10 juta bagi membiayai pembelian kapal,kargo, dan barang keperluan yang akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa keganasan Israel di Gaza.

Keratan akhbar Sinar Harian 14 April 2010 sewaktu majlis pelancaran Lifeline 4 Gaza.

Apa Tindakan Kita

1. Hulurkan sumbangan. Bantuan kewangan dan segala bentuk derma merupakan keutamaan ketika ini.

2. Sebarkan maklumat mengenai misi ini kepada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Dengan kemajuan teknologi hari ini, penyebaran maklumat menjadi perkara yang amat mudah.

Untuk mereka yang berada di Malaysia, sumbangan boleh disalurkan kepada mana-mana NGO yang bergabung di bawah Lifeline 4 Gaza, atau terus ke akaun bank Lifeline 4 Gaza:

Nama akaun : "TABUNG PALESTIN HALUAN"
Nombor akaun: 5-644-902-085- 28
Bank : Maybank Berhad

Diharapkan usaha seperti ini akan dapat melahirkan generasi Malaysia yang prihatin terhadap isu kemanusiaan, dan yang lebih penting dapat menginsafi nikmat kemerdekaan yang mereka kecapi selama ini.


Ikuti perkembangan Lifeline 4 Gaza di laman web rasmi mereka dan di Facebook Fan Page.


Setelah 8 Bulan Berlalu

Setelah sekian lama tidak menghiraukan laman ini, rasa terpanggil pula untuk terus menulis disini. Tetapi mugkin dalan keadaan yang berbeza kerana laman maya ini sepatutnya saya jadikan medan untuk berkongsi pandangan dan apa yang saya lalui sepanjang hidup ini dan bukannya menulis perkara-perkara yang tidak meningkatkan iman kita.

Cepatnya masa berlalu. Muhammad Al Fateh sudah pun hampir mencecah umur 6 bulan. Pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup kita yang pastinya terdapat tarbiyah Allah di dalamnya. Suka, duka, gembira sedih, senang atau pun susah; semuanya ada terdapat dalam kalendar ketetapan Allah. Pokok pangkalnya cuma bagaimana kita mengambil ia sebagai batu-batu hikmah sepanjang perjalanan kita pulang kepada Allah.

Kehidupan yang kita lalui pastinya telah memberi kita peluang untuk meningkatkan diri. Kita belajar satu persatu daripada setiap peristiwa hingga kita menjadi orang yang lebih baik dari sehari ke sehari. Rasulullah pernah bersabda tentang tiga golongan manusia yang pastinya kita pernah terdengar atau membacanya.
- Orang yang beruntung adalah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam
- Orang yang sia-sia adalah orang hari ini sama sahaja seperti semalam
- Orang yang celaka adalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam

Sudah pastinya kita ingin menjadi orang yang beruntung setiap hari. Namun jangan kita lupa bahawa kita ini hanya insan biasa. Ada saja ketikanya kita menjadi orang yang sia-sia dan tak kurang pula kita menjadi orang yang celaka. Tetapi, itu semua adalah lumrah kehidupan. Kita tak terlepas daripada melakukan kesalahan, terjerumus dalam desakan syaitan dan hawa nafsu. Namun, itu semua adalah tarbiyah daripada Allah. Di situ juga letaknya doa dan pengampunan. Ingatlah pesanan junjungan kita. Setiap anak Adam itu berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa itu adalah mereka yang bertaubat.

Dari itu, marilah kita bersama mencari mutiara-mutiara sepanjang perjalanan hidup ini untuk menjadi bekalan pulang ke negeri abadi. Orang mukmin akan merasakan setiap yang berlaku dalam hidupnya adalah baik. Apabila mendapat kesenangan ia bersyukur. Apabila mendapat kesusahan ia sabar dan ia yakin bahawa akan ada kebaikan yang Allah akan berikan. Wallahu alam