Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Don't Waste Your Energy

Little Barford Power Station
 
Dalam kehidupan kita yang singkat ini, kita diberikan kesempatan yang sedikit untuk menggunakan tenaga yang telah dipinjamkan kepada kita. Kita maklum dalam teori perubahan tenaga bahawa tenaga tidak boleh dicipta dan tidak boleh dimusnahkan, tetapi tenaga boleh diubah daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain.
 
Jika diambil contoh daripada suatu stesen penjanaan tenaga, daripada tenaga kimia dalam suatu kuantiti gas, kemudian dibakar menjadi tenaga haba, tenaga haba ini pula diubah kepada tenaga kinetic untuk menggerakkan turbin dan daripada tenaga kinetik ini, ia akan diubah kepada tenaga  elektrik. Tenaga elektrik ini pula dibekalkan ke rumah-rumah kita untuk kita ubah ia sekali lagi kepada tenaga cahaya, tenaga bunyi, tenaga keupayaan, atau mungkin kepada tenaga haba semula seperti mana berfungsinya sebuah pembakar roti.
 
Tetapi teori tenaga itu hanya berfungsi dalam suatu ruang lingkup yang sangat kecil iaitu dunia manusia dan ia benar bagi beberapa keadaan tertentu sahaja kerana tenaga yang dimaksudkan boleh diadakan dan dimusnahkan oleh kuasa yang Maha Besar,Allah.
 
Dalam konteks kita sebagai manusia, tenaga yang Allah berikan dalam badan kita dalam bentuk yang pelbagai dan tenaga ini diberikan adalah sangat terbatas. Contohnya, tenaga kita untuk melihat boleh dicapai dalam beberapa ratus meter sahaja. Kita boleh mendengar dalam jarak beberapa puluh meter sahaja, kita boleh mengangkat barang tengan tangan beberapa kilogram sahaja, kita boleh berlari beberapa kilometer sahaja sebelum kita penat, kita boleh bekerja beberapa jam sahaja sebelum kita rasa lapar dan kita boleh bertahan tanpa tidur beberapa jam sahaja sebelum kita rasa mengantuk.
 
Jadi, jika tenaga yang diberikan kepada kita adalah sangat terbatas, adalah sangat tidak patut jika tenaga itu dibazirkan begitu sahaja. Banyak perkara boleh kita lakukan dengan tenaga yang diberi kepada kita.
 
Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada suatu isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia ketika ini. Dalam pada pihak kerajaan memandang ajaran Syiah sebagai ancaman kepada negara, saya dapati rakan-rakan kita amat sibuk di laman Facebook membincangkan perkara yang sama. Saya tidak menafikan hak mereka untuk berbincang dan mengemukakan pendapat, tetapi kadang-kadang agak keterlalauan dan membawa kepada permasalahan yang lebih buruk.
 
Saya tidak nafikan isu ini adalah isu besar. Ia melibatkan aqidah umat Islam. Tetapi sikap dan tindakan kita dalam menghadapi isu ini perlulah bijak dan professional. Ketika saya berada di bumi bukan Malaysia ini, saya dapati hanya umat Islam di Negara tercinta saya sahaja yang terlalu teksub dengan melabelkan seseorang dan suka mencari perbezaan. Mungkin kerana di Malaysia umat Islam adalah ramai dan majority, maka nilai Islam sebenar itu tenggelam dalam adat dan budaya Melayu.
 
Saya senngaja bangkitkan isu ini kerana saya dapati kita sebagai umat Melayu-Islam amat dhaif dalam mencari kebenaran dan hanya berpegang kepada 'apa yang aku belajar dah betul'. Tetapi pada hakikatnya, mungkin salah. Sikap kita yang tidak mahu mencari ilmu dan tidak berlapang dada membuatkan kita semakin jauh ketinggalan daripada kebenaran.
 
 
Kami di bumi 'bukan Islam' ini solat bersama orang-orang Syiah dalam satu masjid yang sama, imam yang sama, khatib yang sama. Tetapi, di Malaysia, orang P** solat di Masjid P**, orang U*** solat di masjid yang diselia kerajaan. (ini di kampong saya). Padahalnya masing-masing mengaku Ahli Sunnah wal Jamaah. Tampak terlalu ketara perbezaan antara kedua-dua keadaan ni.

Perbezaan yang saya nampak adalah tahap pemikiran yang kurang matang 'orang kampong saya' berbanding masyarakat Islam di sini. Kita lebih suka menonjolkan perbezaan berbanding mencari persamaan. Kita sudah maklum bahawa musuh Islam yang jelas telah berada di depan mata kita. Tetapi kita masih lagi hendak 'declare' orang-orang Syiah sebagai musuh walaupun mereka masih lagi menyembah Allah, solat, berpuasa dan berzakat seperti mana kita juga walaupun nampak caranya agak berbeza. Tidak bolehkah kita menangguhkan sebentar 'declaration' syiah ini sebagai musuh ketika kita sama-sama menentang musuh sebenar? Mungkin kita sama-sama dapat memikirkan dan memperimbangkannya.
 
Berbalik kepada isu asal tadi, saya ingin menyeru semua pembaca agar kita sama-sama menjimatkan tenaga kita daripada membincangkan perkara-perkara tidak penting kepada membuat sesuatu yang lebih bermanfaat kepada agama dan diri kita. Masa dan tenaga kita amat terbatas & kerja yang perlu kita lakukan amat banyak. Jadi, janganlah kita bazirkan tenaga kita kerana kelak kita semua juga yang akan rugi. Wassalam.

Motivasi Diri


Setelah lama meninggalkan dunia blog ini, terasa diri ini ingin berkongsi semula.

Dalam kehidupan kita ini, pastinya kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran & dugaan yang pastinya Allah sediakan untuk kita agar kita menjadi orang yang lebih bertaqwa di sisiNya.

Kerana apa???

Kerana syurga. Ya....syurga. Syurga adalah tempat yang bersih. Tempat yang suci. Maka tempat yang bersih & suci pastilah akan didiami oleh orang yang bersih & suci dari segala dosa & maksiat. Maka dek kerana itu, Allah sediakan neraka. tempat penyucian manusia dari segala dosa yang telah dikerjakan atas dunia ini.

Berbalik kepada cabaran & dugaan tadi, maka Allah sediakan cabaran & dugaan itu untuk memilih siapakah antara kita yang layak menerima syurga tanpa melalui neraka terlebih dahulu. Pastinya orang yang benar-benar tabah & sabar dalam semua ujian akan merasa nikmat syurga itu tanpa seksaan neraka.

Cabaran itu terdiri daripada pelbagai bentuk & keadaan. Godaan kita ini menguji kita sejauh mana kita dapat mendidik nafsu & menundukkannya agar kita dapat taat pada perintah Yang Maha Kuasa.

Persaingan juga merupakan satu cabaran. Dalam dunia hari ini, persaingan adalah intipati penting dalam membentuk suatu ketamadunan. Jika kita kalah dalam persaingan, maka kita akan menjadi satu bangsa yang mundur atau kebelakang.

Satu perkara yang nak saya kongsikan kali ini adalah 5 perkara yang perlu kita sedari sebelum kita melangkah dalam persaingan.

Dalam perutusan tahunan NC UTeM baru-baru ini, perkara tersebut telah di ucapkan



1. Kita sedar & kenal siapa diri kita
2. Kita kenal & sedar di mana kita berada sekarang
3. Kita tahu ke mana hendak kita tuju
4. Kita tahu & kenalpasti matlamat kita
5. Kita tahu bagaimana untuk mencapai matlamat tersebut.

Dengan 5 persoalan di atas, pastinya kita tahu apa yang perlu kita buat sebelum kit lakukan suatu tindakan.

Bagi saya, persoalan ini sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin mencapai suatu matlamat. Tidak kita matlamat di dunia mahupun di akhirat.

Kita boleh berhenti sejenak dan fikirkan sebelum kita bertindak untuk satu tindakan.

Tepuk dada,tanya iman

WaALlahualam

Mati dalam Maksiat


Warga emas mati atas katil pondan


KUANTAN: Kelu lidah seorang pondan apabila pelanggannya, seorang warga emas pengsan secara tiba-tiba ketika mereka berada dalam bilik sewa sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa berusia 78 tahun dari Kubang Buaya ditemui mati di tempat kejadian dengan masih lengkap berpakaian.

Harian Metro difahamkan, mangsa yang baru tiba di bilik sewa berkenaan berbaring di atas katil sambil memegang dadanya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Terkejut dengan keadaan mangsa, pondan berusia 31 tahun berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu menghubungi rakannya meminta bantuan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis dan ambulans.Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, polis tidak mengesyaki kematian mangsa akibat perbuatan jenayah berikutan tiada kesan cedera atau lebam pada badan mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat sebelum doktor mengesahkan punca kematian akibat serangan sakit jantung.

“Jenazah mangsa dituntut keluarganya selepas bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber | Harian Metro


Inilah satu contoh peniktibaran yang perlu kita ambil perhatian. Bila terbaca berita ini, saya tak tahu nak berperasaan macam mana..nak sedih pun ada,nak kesian pun ada, nak gelak pun ada. Tapi bila fikir dua kali, Allah sengaja beri saya peluang untuk baca artikel ni sbb nak beri pengajaran pada saya.

Memang kalau kita baca sekali imbas, ia adalah artikel biasa yang termuat dalam akhbar hari ini. Maksiat berleluasa sehinggakan kita merasakan perkara ini adalah biasa dalam masyarakat kita. Namun, saya nak ajak para pembaca sekalian untuk kita berhenti sejenak untuk sama-sama kita muhasabah.

Ini cuma satu contoh Allah nak tunjuk bagaimana Allah nak beri keaiban pada seseorang akan suatu dosa yang dilakukannya. Ini bukan perkara biasa berlaku. Bukankah umat Muhammad telah diberi keistimewaan bahawa apabila dia melakukan pada malam hari, maka Allah akan menutup aibnya sehingga tidak kelihatan pun pada mukanya pada siang harinya. Itulah kelebihan yang telah diberi pada kita. Namun, apakah ini menunjukkan bahawa Allah tidak sayang pada kita lagi?

Tidak, sama sekali tidak. Semua kejadian yang Allah beri itu ada hikmah disebaliknya. Walaupun keaiban itu tidak berlaku pada kita, tapi ternyata peringatan itu adalah untuk kita. Mari kita merenung apa jua maksiat yang kita lalui sehari-hari. Andai kata Allah ambil nyawa kita ketika kita sedang melakukan maksiat itu, alangkah aibnya kita si mata manusia. Itu tidak dikira lagi dengan azab Allah di akhirat. Sedang di dunia Allah azab kita dengan keaiban, bagaimanakah pula dengan azab kita diakhirat.

Ketika ini saya teringat suatu kisah yang saya pernah baca suatu ketika dahulu. Saya tak berapa ingat secara detail, namun pengajaran & sedikit sebanyak tentang kisah dapatlah saya muatkan disini.

Suatu hari seorang pemuda datang kepada seorang alim dengan katanya, "Tuan, saya telah membunuh 99 orang, kini saya mahu bertaubat, adakah dosa saya ini akan diampunkan oleh Allah?" Jawab orang alim itu tadi, "Teramat besar dosa kamu itu, aku yakin kamu tidak akan diampunkan Allah, pergi kamu dari sini. Aku takut Allah akan menurunkan azab kepada kamu ketika kamu bersamaku & aku akan terkena sekali azab itu." Maka, pemuda yang mahu bertaubat itu berang lalu membunuh si alim itu. Maka genaplah 100 orang telah dibunuhnya.

Dengan perasaan sedih, dia pergi mendapatkan bantuan orang lain. Dia bertemu pula dengan seorang alim yang lain. Dia menceritakan perkara yang sama kepada alim itu. Maka si alim itu berkata kepadanya, jika dia mahu bertaubat, maka hendaklah dia meminta ampun daripada Allah dengan taubat nasuha & berpindahlah ke ke suatu negeri luar dari kota yang didiami mereka.

Maka pemuda itu pun menurut nasihat alim itu. Dengan izin Allah, dalam perjalanan dia utk berpindah ke negeri yang ditunjukkan itu, pemuda itu meninggal dunia. Maka, berebutlah malaikat Raqib & Atid yang kedua-duanya hendak menuliskan amalan pemuda itu.

Kata malaikat Raqib, pemuda ini dalam perjalanan untuk bertaubat, maka layak baginya jika aku menuliskan amalan kebajikan baginya. Malaikat Atid yang menulis amalan buruk pula membantah. Pemuda ini masih belum bertaubat. Maka, layak baginya amalan buruk yang telah diamalkan seumur hidupnya.

Setelah kedua-dua malaikat tak mahu mengalah, maka diadukan masalah itu kepada Allah. Maka, Allah memberi penyelesaian kepada kedua-dua malaikat dengan memerintahkan malaikat supaya mengukur jarak antara tempat asalnya & jarak ke tempat yang hendak dituju. Jika tempat tujuannya lebih pendek, maka masukkan dia ke syurga, tetapi jika tempat asalny lebih pendek, masukkan dia ke neraka.

Maka malaikat pun melaksanakan perintah itu. setelah diukur tempat kematiannya dengan jarak antara kedua tempat itu, ternyata jarak untuk ke negeri yang hendak pemuda itu hijrah adalah lebih pendek. Maka malaikat pun berpuas hati dengan pengadilan Allah itu & pemuda itu dimasukkan ke syurga.

Pengajaran daripada peristiwa ini:

1. Kita hendaklah bertaubat selagi mana ada kuasa untuk berbuat demikian. Jangan tunggu hingga tua baru kita nak taubat.

2. Kalau kita ambil iktibar daripada alim ke 100 yang dibunuh itu tadi, kita tak layak untuk menetukan sama ada dosa manusia lain itu diampunkan oleh Allah ataupun tidak. Apa yang penting bagi kita adalah menunjukkan jalan untuk bertaubat kerana penerimaan itu hanyalah milik Allah.

3. Jika suasana hidup yang kita diami sekarang ini menghalang kita daripada kembali pad Allah, hendaklah kita tinggalkan suasana tersebut, kerana barangkali kita akan kembali kepada maksiat lama ketika kita lemah suatu hari nanti. Sebeb itu, pemuda itu dinasihatkan berpindah ke negeri lain untuk mencari suasana baru agar dia dapat memulakan hidup yang baru disana nanti.

Begitulah juga suasana dalam kehidupan kita. Kita memang tak lepas daripada kesilapan & maksiat. Tetapi hendaklah kita segera bertaubat pada Allah agar Allah mengampunkan dosa kita & menerima kita sebagai hambanya.

WalLahualam

Pintu-pintu Syaitan


Baru- baru ni kami ada berbincang suatu bab yang dipetik daripada buku Allahyarham Fathi Yakan: Apa Erti Saya Menganut Agama Islam? Walaupun hati masih sedih dengan berita pemergian beliau ke Rahmatullah, tetapi inilah sedikit sebanyak ilmu yang beliau sampaikan & kita panjang-panjangkan kepada yang lain. Moga Allah mengira usaha ini sebagai saham beliau di akhirat kelak........

Kupasan yang sungguh menarik daripada sahabat. Walaupun macam perkara biasa yang kita dengar, tetapi penuh bermakna denga olahan & tutur bicara serta contoh-contoh realistik yang diberi membuatkan kami yang mendengar seolah-olah tak mahu dia berhenti bercakap. Antara yang disebut adalah Cara-cara Menghalang Godaan Syaitan.

Saya nak petik terus daripada buku tersebut sebab saya tak pandai nak olah dengan lebih menarik:

Bagi membantu manusia bagi menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan Iblis, Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para salihin dengan katanya:

"Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh pintu:

Pertama:

Tamak dan buruk sangka, maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.

Kedua:

Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.

Ketiga:

Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.

Keempat:

Kagum terhadap diri sendiri ('Ujub), lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yaburuk.

Kelima:

Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghaddengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.

Keenam:

Hasad (dengki), lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana'ah) dan reda terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.

Ketujuh:

Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu aku menghadapinya dengan ikhlas.

Kelapan:

Bakhil (kedekut), lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah.

Kesembilan:

Takabbur (membesarkan diri), lalu aku menghadapinya dengan rasa tawaduk.

Kesepuluh:

Tamak haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.


Di antara arahan-arahan yang di anjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelak serangan dan tipu daya syaitan ialah agar sentiasa seseorang itu mengingati Allah apabila memulakan setiap pekerjaan. Satu riwayat daripada Abu Hurairah berhubung dengan hal ini menyebutkan: "Syaitan bagi orang-orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang-orang kafir, lalu di dapati syaitan bagi orang-orang kafir dalam keadaan gemuk-montel sedangkan syaitan bagi orang-orang mukmin dalam keadaan kurus kering bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan bagi orang-orang kafir itu bertanya kepada syaitan bagi orang-orang mukmin: Kenapa kamu kurus kering?. Lalu ia menjawab: "Aku bersama seorang lelaki yang apabila ia makan ia menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila ia minum ia menyebut nama Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai pakaian ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus bertelanjang. Apabila ia memakai minyak rambut juga ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus kusut masai". Kemudian syaitan bagi orang-orang kafir itu berkata: "Tetapi aku bersama lelaki yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku berkongsi makan, minum dan pakai dengannya".



Di antara cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan menghadapi tipu daya dan godaan syaitan ialah dengan cara:

1. Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menghadapi makanan yang baik dan halal kerana Allah berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Maksudnya:

"Makanlah dan minumlah, tetapi jangan kamu berlebihan". (Surah Al-A'raf 7: Ayat 31)

Rasulullah s.a.w juga bersabda mengingatkan, maksudnya:

"Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan". (Hadis riwayat Ahmad)

2. Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika ia mengingati Allah ia pun lari daripadanya, jika sekiranya ia lupakan Allah syaitan akan mengunyah hatinya".

(Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

3.Tidak tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulullah s.a.w:

"Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah".

Sebenarnya ruang ini adalah terbatas untuk menyebut semua sebab, amal-amal dan pesanan-pesanan yang dianjurkan oleh Islam untuk menjaga diri dari serangan dan godaan syaitan. Memadailah di sini kita melihat firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (Surah Al-A'raf 7: Ayat 201).


WalLahualam