Don't Waste Your Energy

Little Barford Power Station
 
Dalam kehidupan kita yang singkat ini, kita diberikan kesempatan yang sedikit untuk menggunakan tenaga yang telah dipinjamkan kepada kita. Kita maklum dalam teori perubahan tenaga bahawa tenaga tidak boleh dicipta dan tidak boleh dimusnahkan, tetapi tenaga boleh diubah daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain.
 
Jika diambil contoh daripada suatu stesen penjanaan tenaga, daripada tenaga kimia dalam suatu kuantiti gas, kemudian dibakar menjadi tenaga haba, tenaga haba ini pula diubah kepada tenaga kinetic untuk menggerakkan turbin dan daripada tenaga kinetik ini, ia akan diubah kepada tenaga  elektrik. Tenaga elektrik ini pula dibekalkan ke rumah-rumah kita untuk kita ubah ia sekali lagi kepada tenaga cahaya, tenaga bunyi, tenaga keupayaan, atau mungkin kepada tenaga haba semula seperti mana berfungsinya sebuah pembakar roti.
 
Tetapi teori tenaga itu hanya berfungsi dalam suatu ruang lingkup yang sangat kecil iaitu dunia manusia dan ia benar bagi beberapa keadaan tertentu sahaja kerana tenaga yang dimaksudkan boleh diadakan dan dimusnahkan oleh kuasa yang Maha Besar,Allah.
 
Dalam konteks kita sebagai manusia, tenaga yang Allah berikan dalam badan kita dalam bentuk yang pelbagai dan tenaga ini diberikan adalah sangat terbatas. Contohnya, tenaga kita untuk melihat boleh dicapai dalam beberapa ratus meter sahaja. Kita boleh mendengar dalam jarak beberapa puluh meter sahaja, kita boleh mengangkat barang tengan tangan beberapa kilogram sahaja, kita boleh berlari beberapa kilometer sahaja sebelum kita penat, kita boleh bekerja beberapa jam sahaja sebelum kita rasa lapar dan kita boleh bertahan tanpa tidur beberapa jam sahaja sebelum kita rasa mengantuk.
 
Jadi, jika tenaga yang diberikan kepada kita adalah sangat terbatas, adalah sangat tidak patut jika tenaga itu dibazirkan begitu sahaja. Banyak perkara boleh kita lakukan dengan tenaga yang diberi kepada kita.
 
Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada suatu isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia ketika ini. Dalam pada pihak kerajaan memandang ajaran Syiah sebagai ancaman kepada negara, saya dapati rakan-rakan kita amat sibuk di laman Facebook membincangkan perkara yang sama. Saya tidak menafikan hak mereka untuk berbincang dan mengemukakan pendapat, tetapi kadang-kadang agak keterlalauan dan membawa kepada permasalahan yang lebih buruk.
 
Saya tidak nafikan isu ini adalah isu besar. Ia melibatkan aqidah umat Islam. Tetapi sikap dan tindakan kita dalam menghadapi isu ini perlulah bijak dan professional. Ketika saya berada di bumi bukan Malaysia ini, saya dapati hanya umat Islam di Negara tercinta saya sahaja yang terlalu teksub dengan melabelkan seseorang dan suka mencari perbezaan. Mungkin kerana di Malaysia umat Islam adalah ramai dan majority, maka nilai Islam sebenar itu tenggelam dalam adat dan budaya Melayu.
 
Saya senngaja bangkitkan isu ini kerana saya dapati kita sebagai umat Melayu-Islam amat dhaif dalam mencari kebenaran dan hanya berpegang kepada 'apa yang aku belajar dah betul'. Tetapi pada hakikatnya, mungkin salah. Sikap kita yang tidak mahu mencari ilmu dan tidak berlapang dada membuatkan kita semakin jauh ketinggalan daripada kebenaran.
 
 
Kami di bumi 'bukan Islam' ini solat bersama orang-orang Syiah dalam satu masjid yang sama, imam yang sama, khatib yang sama. Tetapi, di Malaysia, orang P** solat di Masjid P**, orang U*** solat di masjid yang diselia kerajaan. (ini di kampong saya). Padahalnya masing-masing mengaku Ahli Sunnah wal Jamaah. Tampak terlalu ketara perbezaan antara kedua-dua keadaan ni.

Perbezaan yang saya nampak adalah tahap pemikiran yang kurang matang 'orang kampong saya' berbanding masyarakat Islam di sini. Kita lebih suka menonjolkan perbezaan berbanding mencari persamaan. Kita sudah maklum bahawa musuh Islam yang jelas telah berada di depan mata kita. Tetapi kita masih lagi hendak 'declare' orang-orang Syiah sebagai musuh walaupun mereka masih lagi menyembah Allah, solat, berpuasa dan berzakat seperti mana kita juga walaupun nampak caranya agak berbeza. Tidak bolehkah kita menangguhkan sebentar 'declaration' syiah ini sebagai musuh ketika kita sama-sama menentang musuh sebenar? Mungkin kita sama-sama dapat memikirkan dan memperimbangkannya.
 
Berbalik kepada isu asal tadi, saya ingin menyeru semua pembaca agar kita sama-sama menjimatkan tenaga kita daripada membincangkan perkara-perkara tidak penting kepada membuat sesuatu yang lebih bermanfaat kepada agama dan diri kita. Masa dan tenaga kita amat terbatas & kerja yang perlu kita lakukan amat banyak. Jadi, janganlah kita bazirkan tenaga kita kerana kelak kita semua juga yang akan rugi. Wassalam.

0 Response to "Don't Waste Your Energy"

Post a Comment

What is your opinion about this post? Please leave your comment below.....