Dari Konstantinopel ke Istanbul

Selasa 29 Mei 1453

Satu detik sejarah yang perlu dihayati oleh semua umat Islam. Tahukah anda apakah peristiwa yang berlaku pada hari tersebut?

Ingin saya kongsikan sedikit pengalaman yang saya alami sendiri baru-baru ini.

Rasa kagum & teruja mula wujud apabila melihat seorang profesor mengeluarkan sebuah buku daripada begnya. Ia bukanlah buku akademik, bukan juga diari peribadinya. Tetapi ia adalah sebuah novel. Cuba bayangkan, dalam kesibukan seorang profesor, ke sana ke mari menguruskan hal-hal universiti, hal penyelidikan, ditambah pula dengan jawatan universiti, beliau masih sempat mencari novel untuk dibaca. Apabila ditanya, beliau menjawab. "Cuma bacaan santai. Alhamdulillah, ini buku ke empat saya baca dalam minggu ni."


Termenung seketika memikirkan bagaimana dia mengurus masanya untuk membaca & kerja-kerja lain. Tetapi, bukan itu yang saya nak 'highlight' di sini. Apa yang saya perkatakan adalah berkaitan buku tersebut.

Selepas pertemuan itu, saya mula berfikir. "Apa yang 'best' sangat tentang buku ni?" Maka saya pun berusaha mencari. Alhamdulillah, dalam satu program lain, ada seorang kawan membuka kaunter jualan buku. Belek punya belek, akhirnya jumpa. Tapi duit tak cukup. RM24.00....Hmm, lama juga fikir.Gaji lambat lagi...duit tak berapa nak ada.

Akhirnya, tekad je beli. "Diskaun 10%." Kata penjual tu. "Alhamdulillah." Bisik dalam hati. Dapat kurang sikit. RM21.60 je. Keluarkan duit, ada RM20 je. "Tak apalah, halal." kata penjual. Skali lagi syukur pada Allah.

Balik rumah tu,terus mula baca. Terkejut dengan diri sendiri. Tak pernah dalam sejarah hidup saya baca novel sampai habis. Ahamdulillah, pagi semalam, tamatkan terus pembacaan sebab tak sabar-sabar nak tahu akhir kisah tersebut.

Apa yang sangat menarik perhatian saya adalah sikap pemimpin yang ditonjolkan dalam buku ni.

"Sultan Muhammad Al-Fateh."(SMAF)

Saya yakin, ramai yang telah baca buku ni & ramai yang telah tahu mengenainya. Tetapi ingin saya kongsikan pengajaran & pandangan saya terhadap kisah dalam buku ini.

Kita cerita sedikit ringkasan tentang kota Konstantinopel yang ingin ditakluki oleh SMAF ini. Kisah ini adalah kesinambungan daripada hadis daripada Rasulullah s.a.w. " Kota Konstantinopel hanya akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik & rakyat yang baik." Bermula daripada hadis inilah pemimpin-pemimpin khilafah Islam dahulu berusaha untuk menakluknya. Mereka yakin apa yang diucapkan oleh Rasulullah itu. Bermula sejak zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib r.a pada tahun ke-34 hijrah, diikuti pula oleh Muawiyah, Sultan Sulaiman, Khalifah Harun Al- Rashid, dan Sultan Murad semuanya telah mencuba untuk menawan kota Konstantinopel, namum semuanya mengalami kegagalan.

Kelahiran Sultan Muhammad Al-Fateh membawa satu impak besar kepada sejarah Islam. Detik kelahirannya telah memberi petunjuk bahawa baginda adalah insan terpilih oleh Allah untuk membuktikan kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. itu. Baginda telah dididik dengan pendidikan Islam & ditambah pula dengan ilmu peperangan.Kesannya, beliau telah menjadi seorang pemuda yang sangat berani, berpandangan jauh, namun tidak pula mengurangi ketaqwaannya pada Allah & tidak pula angkuh malahan penuh dengan sikap tawaduk serta zuhud.

Apa yang menarik perhatian adalah, dengan izin Allah beliau telah menaiki takhta pada umur 19 tahun & menakluk Kota Konstantinopel pada umur 21 tahun.

Sepanjang baginda menjadi sultan, perkara utama yang ditikberatkan adalah perbincangan (syura). Semua pemimpin kana baginda berhak memberi pendapat & tidak pernah sekali baginda berkeras mempertahankan pendapat sendiri andai cadangannya ditolak oleh orang lain. Malahan pernah terjadi suatu peristiwa ketika semua pemimpin kerajaan sedang bermesyuarat, datang suatu cadangan daripada tentera pengawal istana yang hanya berpangkat biasa. Baginda telah memberinya peluang & cadangan itu diterima oleh semua ahli menyuarat. Bagi baginda, Allah telah memberi mereka ilham melalui askar tersebut ketika mereka dalam kebuntuan.

Semasa pemerintahan kerajaan Usmaniah, ulama' diletakkan pada kedudukan yang mulia. Semua keputusan yang hendak dibuat akan dirujuk kepada ulama' terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan. Walaupun sultan berkuasa & mempunyai kuasa autokratik dalam membuat sebarang keputusan, tetapi SMAF meletakkan syarak pada kedudukan teratas di mana redha Allah adalah matlamat utama dalam pemerintahannya. Baginya, baginda hanyalah makhluk Allah yg diberi tanggungjawab untuk memimpin rakyatnya menyembah tuhan yang Esa & bukannya sultan yang mesti diagung-agungkan atau ditaati membuta tuli. Semua askar & rakyat Turki ketika itu dididik dengan aqidah yang sebenar melalui penetapan amal Islam dalam segenap kegiatan. Beberapa insiden dalam buku ini yang mengisahkan bagaimana baginda mendidik tentera & rakyatnya baik secara pendidikan mahupun menggunakan undang-undang. Kesan daripada itu, semua rakyat di bawah pemerintahan & jajahan Turki berasa selamat & aman walaupun mereka yang bukan dari kalangan yang beragama Islam. Orang beragama lain bebas mengamalkan agama masing-masing namun tugas dakwah tetap dijalankan.

Apa yang lebih menarik dalam pemerintahan SMAF adalah taktik peperangan yang beliau lakukan seboleh mungkin mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Cara perundingan & taktik mengelak peperangan yang dilakukan telah menunjukkan amalan Islam sebenar. Akhlak tentera Turki menjadi pujian para tawanan perang sehingga ada yang memilih untuk terus bernaung di bawah pemerintahan SMAF walaupun diberi pilihan untuk memerintah. Begitulah gambaran ringkas pemerintahan seorang pemimpin Islam yang meletakkan Kalimah Allah sebagai panduan baginya memerintah empayar yang sangat luas itu. Berkat kesabaran & ketaatan SMAF, tentera serta rakyatnya pada Allah, maka turun pertolongan daripada Allah untuk menghancurkan musuhNya yang menzalimi menusia di atas muka bumi ini.

Oleh itu, tanggal 29 Mei 2009 esok, genaplah 556 tahun kejatuhan Kota Kontantinopel ke tangan umat Islam yang telah ditukar nama ke Istanbul oleh SMAF. Namun, sejarah kegemilangan umat Islam ini tak layak kita raikan pada hari esok jika kita lihat kepad kemunduran umat Islam hari ini. Lemahnya iman & aqidah umat adalah pokok utama lemahnya umat. Pemerintahan yang dicanangkan sebagai negara Islam amat jauh daripada ajaran Islam sebenar. Pemimpin hari ini lebih suka membesarkan berut masing-masing berbanding menghadapi kesusahan menegakkan hukum Allah. Kebayakan ulama hari ini hanya menjadi tempat rujuk untuk beberapa hal sahaja seperti nikah kahwin, cerai & kematian. Hal-hal lain tak ada sangkut paut pun dengan Islam. Inilah yang dikatakan "DIA-MAU-KERUSI", suatu sistem yang ibarat retak menunggu belah.

Saudaraku sekalian, yakinlah bahawa kebangkitan Islam telah berada diambang pintu kejayaan. Maka beruntunglah mereka yang sama-sama menegakkan Islam ketika Islam sedang menuju kejayaan. Jangan kita lepaskan peluang ini. Peluang tidak datang dua kali. Rebutlah ia sebelum terlambat. Mari kita tanamkan cita-cita untuk menakluk semua hati-hati menusia agar beriman kepada Allah. Itulah sebaik- baik amalan.

Wallahu alam


0 Response to "Dari Konstantinopel ke Istanbul"

Post a Comment

What is your opinion about this post? Please leave your comment below.....