Pintu-pintu Syaitan

6.18.2009 9:59 AM by MoFis

Baru- baru ni kami ada berbincang suatu bab yang dipetik daripada buku Allahyarham Fathi Yakan: Apa Erti Saya Menganut Agama Islam? Walaupun hati masih sedih dengan berita pemergian beliau ke Rahmatullah, tetapi inilah sedikit sebanyak ilmu yang beliau sampaikan & kita panjang-panjangkan kepada yang lain. Moga Allah mengira usaha ini sebagai saham beliau di akhirat kelak........

Kupasan yang sungguh menarik daripada sahabat. Walaupun macam perkara biasa yang kita dengar, tetapi penuh bermakna denga olahan & tutur bicara serta contoh-contoh realistik yang diberi membuatkan kami yang mendengar seolah-olah tak mahu dia berhenti bercakap. Antara yang disebut adalah Cara-cara Menghalang Godaan Syaitan.

Saya nak petik terus daripada buku tersebut sebab saya tak pandai nak olah dengan lebih menarik:

Bagi membantu manusia bagi menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan Iblis, Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para salihin dengan katanya:

"Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh pintu:

Pertama:

Tamak dan buruk sangka, maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.

Kedua:

Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.

Ketiga:

Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.

Keempat:

Kagum terhadap diri sendiri ('Ujub), lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yaburuk.

Kelima:

Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghaddengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.

Keenam:

Hasad (dengki), lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana'ah) dan reda terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.

Ketujuh:

Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu aku menghadapinya dengan ikhlas.

Kelapan:

Bakhil (kedekut), lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah.

Kesembilan:

Takabbur (membesarkan diri), lalu aku menghadapinya dengan rasa tawaduk.

Kesepuluh:

Tamak haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.


Di antara arahan-arahan yang di anjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelak serangan dan tipu daya syaitan ialah agar sentiasa seseorang itu mengingati Allah apabila memulakan setiap pekerjaan. Satu riwayat daripada Abu Hurairah berhubung dengan hal ini menyebutkan: "Syaitan bagi orang-orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang-orang kafir, lalu di dapati syaitan bagi orang-orang kafir dalam keadaan gemuk-montel sedangkan syaitan bagi orang-orang mukmin dalam keadaan kurus kering bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan bagi orang-orang kafir itu bertanya kepada syaitan bagi orang-orang mukmin: Kenapa kamu kurus kering?. Lalu ia menjawab: "Aku bersama seorang lelaki yang apabila ia makan ia menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila ia minum ia menyebut nama Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai pakaian ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus bertelanjang. Apabila ia memakai minyak rambut juga ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus kusut masai". Kemudian syaitan bagi orang-orang kafir itu berkata: "Tetapi aku bersama lelaki yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku berkongsi makan, minum dan pakai dengannya".



Di antara cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan menghadapi tipu daya dan godaan syaitan ialah dengan cara:

1. Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menghadapi makanan yang baik dan halal kerana Allah berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Maksudnya:

"Makanlah dan minumlah, tetapi jangan kamu berlebihan". (Surah Al-A'raf 7: Ayat 31)

Rasulullah s.a.w juga bersabda mengingatkan, maksudnya:

"Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan". (Hadis riwayat Ahmad)

2. Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika ia mengingati Allah ia pun lari daripadanya, jika sekiranya ia lupakan Allah syaitan akan mengunyah hatinya".

(Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

3.Tidak tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulullah s.a.w:

"Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah".

Sebenarnya ruang ini adalah terbatas untuk menyebut semua sebab, amal-amal dan pesanan-pesanan yang dianjurkan oleh Islam untuk menjaga diri dari serangan dan godaan syaitan. Memadailah di sini kita melihat firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (Surah Al-A'raf 7: Ayat 201).


WalLahualam



0 Response to "Pintu-pintu Syaitan"

Post a Comment

What is your opinion about this post? Please leave your comment below.....